Renungan : Mencari sebuah kesempurnaan

by - 10:12:00 AM

Kisah ini mengenai pertemuan dua orang sehabat yang sudah lama tidak berjumpa. Mereka amat merindui antara satu sama lain. Mereka berbual, bersenda sambil menikmati suasana nyaman di pesisiran pantai berhampiran kampung mereka. Pada mulanya topik yang dibicarakan adalah mengenai kenangan zaman sekolah dulu, namun pada akhirnya ia berkisar tentang kehidupan mereka kini.

"Mengapa sampai sekarang kamu belum menikah?" tanya Azman kepada temannya Borhan yang sampai sekarang masih membujang. "Jodoh tak sampai lagi. Itulah sebabnya saya masih membujang. "

Borhan diam seketika dan kemudian menyambung, "Dulu sewaktu saya di Kedah, saya berjumpa dengan seorang wanita yang cantik yang amat bijaksana. Saya fikir inilah wanita ideal untuk saya dan sesuai menjadi isteri saya. Namun selepas sekian lama kami berpacaran baru saya tahu dia sebenarnya amat sombong. Hubungan kami putus sampai disitu."

Azman hanya mengangguk-anggukkan kepala. Lantas Azman bertanya, "Lalu.. kamu tidak bertemu dengan wanita lain? selepas itu". Borhan tersenyum. Lalu menjawab. "Ada. Semasa di Ipoh saya bertemu dengan seorang wanita yang cantik jelita, ramah dan dermawan. Pada pertemuan pertama saya begitu gembira dan seronok. Hati saya berdegup kencang, malah kuat menyatakan bahawa inilah wanita ideal saya. Namun selepas itu baru saya tahu, dia banyak tingkahlaku yg tak baik dan tidak bertanggung jawab."

Azman menarik nafas yang panjang dan kemudian bertanya, "Jadi, kamu mengambil keputusan tidak mahu mengenali mana-mana wanita disebabkan sikap dan sifat mereka yang tidak sempurna? Dan disebabkan itu kamu tidak menikah sehingga kini?"

Borhan menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak bersetuju. "Bukan begitu." ujarnya. Muka Azman berkerut lalu bertanya, "Habis tu? Apa yang kamu cari?"

Borhan melepaskan pandangannya ke arah Laut China Selatan. Untuk seketika Borhan menikmati keindahan alam. Tidak lama kemudian Borhan berkata, "Aku mencari wanita yang sempurna". Azman terus bertanya lagi, "Apakah kamu masih belum bertemu dengan wanita seperti yang kamu idamkan itu?"

Borhan menarik nafas panjang. Dipejamkan matanya seketika lalu berkata, "Saya telah bertemu dengan seorang wanita ketika saya di Johor Bahru. Dia seorang wanita yang manis, baik dan periang. Dia sangat menyenangkan bila diajak berbicara, selalu menyambung perbualan kami dan sangat memahami saya. Tapi akhirnya kami berpisah apabila saya mengetahui yang dia dari keluarga yang berantakan selain selalu menuntut sesuatu yang saya tidak mampu memenuhinya. Akhirnya kami berpisah."

Ungkapan Borhan terhenti seketika. Kemudian Azman menepuk bahu Borhan. "Saya tak sangka yang citarasa kamu terhadap wanita sangat tinggi. Malah sukar untuk mencari wanita yang sempurna pada masa kini." ujar Azman. "Benar katamu Azman. Walaupun saya mencari dan terus mencari, namun saya selalu dapati ada kekurangan dan kelemahan pada wanita yang saya temui." balas Borhan dengan tenang.

Untuk seketika, suasana menjadi sunyi. Yang kedengaran hanyalah desiran ombak dan hembusan angin laut. Sekali sekala kedengaran kicauan burung yang bebas berterbangan di langit biru. Suara Azman memecahkan kesunyian yang ada di sekeliling mereka. "Borhan.. dalam dunia ni, tiada kesempurnaan yang sempurna. Paling tidak, pasti ada sedikit cacat cela pada seseorang wanita itu."

Borhan hanya tersenyum lalu membalas, "Benar Azman. Tetapi setahun lalu, saya ada bertemu dengan seorang wanita yang sangat saya dambakan selama ini. Dia bukan sahaja cantik, malah baik hati, dermawan, pintar dan penuh dengan humor. Dia juga sangat teliti dan sentiasa berdamping dan bersama saya terutama ketika saya berada dalam kesedihan. Pendek kata, dia adalah wanita yang sempurna bagi saya. Dialah Bidadari syurga yang dijadikan khas untuk saya."

Azman yang dari tadi tekun mendengar kata Borhan dengan pantas menyergah, "Lantas? Apa yang terjadi? Kamu tidak terus melamarnya?" Azman begitu teruja untuk mengetahui akan tindakan Borhan.

Borhan diam sejenak dan akhirnya dengan suara yang perlahan Borhan menjawab, "Tidak. Baru sekarang saya mengetahui bahawa dia juga sedang mencari lelaki yang sempurna."


Kesimpulan : Tiada kesempurnaan dalam hidup ini mahupun dunia ini. Nobody's perfect. Jadi jangan sia-siakan apa yang sudah ada di hadapan kita, kerana belum tentu kita akan mendapat sesuatu yang lebih baik dari yang kita ada, Kalau kita mahu mencari sesuatu yang sempurna, nilaikan dahulu diri kita sendiri, apakah sudah cukup sempurna di mata orang lain?

You May Also Like

0 orang suka

Sila tinggalkan komen dengan berhemah.. tqqq ^_^